BeFunky-collage-2021-12-22T112637.721-750x465

MYHackathon, Peluang untuk Perubahan Bersama-sama Dalam Mendigitalkan Perkhidmatan Kerajaan

MYHackathon, Peluang untuk Mengemudi Perubahan Bersama-sama Dalam Mendigitalkan Perkhidmatan Kerajaan

Perubahan lazimnya diterajui oleh matlamat bersama untuk menggerakkan sesuatu. Tahun pertama pelaksanaan projek rintis oleh para pemenang kategori Maraton MYHackathon bermula dengan tema berserta objektif asal. Kini, pada penghujung tahun pertama, mereka sudah boleh menyaksikan dan melihat kembali perjalanan implementasi projek mereka.

Lebih menarik, jarang sekali mana-mana syarikat pemula (startup) yang menerima agensi kerajaan sebagai klien pertama mereka, sama ada di peringkat idea (ideation) atau pelaksanaan. Jalinan kerjasama antara dua pihak seperti ini pastinya memerlukan kepercayaan yang tinggi, selain perbincangan yang kerap untuk menghubungkan jurang digital dan kaedah tradisional, serta kaji semula idea tentang bagaimana solusi patut diimplementasikan.

Untuk MYHackathon kategori Maraton pada tahun 2020, fokus adalah kepada solusi yang boleh dilaksanakan sebagai sebuah projek rintis selama setahun. Ini adalah sebuah program hackathon dengan akses kepada data nasional sebenar, seterusnya direalisasikan dengan kerjasama agensi dan kementerian di Malaysia. Dengan akses kepada rakan kolaborasi, startup ini juga boleh mengesahkan idea mereka dan menjadikannya sebuah realiti. Justeru, Hackathon Nasional Pertama di Malaysia dapat dilihat sebagai sesuatu yang unik untuk pemenang kategori Maraton. Bahkan, ia juga adalah sebuah pengalaman sebenar yang besar dan jarang diperolehi , apatah lagi mereka berpeluang bekerja dengan agensi kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan.

Bahagian 1: Mendepani Evolusi Pendidikan Melalui Inovasi Realiti Maya TVET, Pembelajaran Interaktif untuk OKU, Solusi Untuk Meringankan Beban Guru dan Sekolah serta Aplikasi Metaverse Untuk Membudayakan STI

MOSTI World, metaverse yang dibangunkan oleh NIUTECS untuk pusat STI negara.

Pusat Sains Negara dan Planetarium adalah ruang di mana perbincangan mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) berlangsung. Semasa MYHackathon lokasi Pulau Pinang dilancarkan, salah satu pernyataan masalahnya adalah seruan untuk meningkatkan interaksi awam terhadap institusi yang mempromosikan STI.

Bagi meningkatkan interaksi orang awam terhadap konten STI, NIUTECS Ventures Sdn Bhd telah merealisasikan projek rintis, hasil daripada idea kemenangan mereka di MYHackathon 2020. Projek rintis mereka dinamakan sebagai Augmented Reality Management System (ARMS).

Salah satu daripada komponen solusi mereka turut melibatkan platform Roblox, di mana platform gamifikasi maya ini menghasilkan dapatan yang diingini. Pelaksanaan ini telah menarik seramai lebih 3,000 pengunjung dalam masa tiga bulan serta mencatatkan 1,400 pemain aktif di metaverse Roblox. Diintegrasikan dengan analitik backend, NIUTECS telah berjaya meletakkan Planetarium dan Pusat Sains Negara di mata 34.6 juta kanak-kanak dalam dunia metaverse. Bukan itu sahaja, MOSTI adalah satu-satunya agensi kerajaan yang memiliki metaverse di Roblox.

Dengan kekuatan tenaga kerja seramai 14 orang, NIUTECS Ventures Sdn Bhd menjangkakan bahawa solusi mereka berupaya untuk menggandakan trafik ke pusat STI tersebut. Malah, agensi di bawah MOSTI yang mengguna pakai ARMS juga boleh memprofilkan pengunjung mereka kepada segmen yang spesifik bagi menyediakan interaksi yang lebih baik dan tumpuan yang lebih lama daripada pelawat. Kaedah pemprofilan meluaskan lagi masa interaksi ke platform metaverse sehingga 4 kali lebih lama daripada biasa serta meningkatkan jumlah pelawat berulang sekurang-kurangnya 2 kali ganda.

Ini adalah ISKANDAR. Pengguna boleh belajar asas Islam menggunakan bahawa isyarat dengan bantuan avatar ini.

Sekolah sentiasa digesa untuk menyediakan peluang dan hak saksama kepada pelajar kelainan upaya untuk mendapatkan akses kepada pendidikan. Berkongsi visi yang sama dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) iaitu pendidikan untuk semua, OZEL Sdn Bhd atau pasukan iskanDAR telah memenangi MYHackathon lokasi Johor Bahru dengan misi mereka untuk merealisasikan solusi pendidikan digital untuk pelajar kelainan upaya pekak.

“Kami telah membangunkan sebuah buku pembelajaran, Learn the Basic of Islam in Sign Language with ISKANDAR, di mana buku ini adalah sebuah buku interaktif yang menerangkan tentang ilmu asas Islam untuk golongan OKU pekak terutamanya kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun,” jelas jurucakap OZEL. Digitalisasi pembelajaran menggunakan bahasa isyarat ini adalah satu anjakan dalam bidang pendidikan khas negara.

Startup ini juga yakin bahawa solusi mereka ini adalah mesra pandemik. ISKANDAR dibangunkan khas dengan teknologi realiti terimbuh (AR) dalam aplikasi mudah alihnya serta dapat diakses secara dalam talian agar ia berupaya digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Bagi memastikan projek rintis ini berjaya dilaksanakan, OZEL telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Tangkap layar tutorial di MatMetro.

Untuk mempromosikan STI, pembelajaran interaktif adalah salah satu cara yang berkesan pada zaman millenial ini. Dalam pitch kemenangan mereka, ThinkersLab Sdn Bhd yakin bahawa rakyat Malaysia sememangnya menyukai perkara yang praktikal. Jelasnya, rakyat Malaysia mempunyai minat yang tinggi terhadap projek Bina Kendiri (DIY). Justeru, pasukan ini lahir dengan idea untuk membangunkan sebuah platform yang menawarkan tutorial projek DIY secara interaktif, sekaligus meningkatkan minat mereka terhadap sains dan teknologi. 

ThinkersLab Sdn Bhd atau solusi digital mereka yang dikenali sebagai Mat Metro (Mekanikal dan Elektronik) telah menyediakan bengkel pembelajaran maya yang mengajar kemahiran asas untuk subjek latihan dan bimbingan teknikal dan vokasional (TVET). Menariknya, pasukan ThinkersLab ini juga mengguna pakai teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) bagi memudahkan pemahaman serta penyampaian pembelajaran interaktif Mat Metro. “Projek ini adalah sesuatu yang bermakna buat Institut Kemahiran MARA (IKM) yang memberitahu bahawa mereka memerlukan lebih banyak kandungan seperti yang dibangunkan oleh Mat Metro.

Sejak memenangi MYHackathon lokasi Pulau Pinang, mereka telah mengumpul seramai lebih daripada 100 orang pengguna dan menguji projek mereka. Melalui pelaksanaan projek rintis, mereka juga yakin bahawa kandungan aplikasi Mat Metro ini menyokong objektif pemegang taruh mereka. Untuk pelan masa depan, startup ini berhasrat untuk menambah fungsi penuh VR pada aplikasi Mat Metro menggunakan fungsi kawalan Oculus.

Video testimoni pengguna Pandai di Youtube

CINTA adalah singkatan untuk Continuous Improvement in Teaching App. Untuk CINTA, sebuah modul yang dibangunkan oleh Pandai Sdn Bhd, pemegang amanah (stakeholders) terbesarnya melibatkan lebih daripada 400,000 orang guru di Malaysia, terutamanya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan agensi di bawahnya. Semasa sesi pitch akhir, CINTA pada asalnya adalah sebuah aplikasi untuk kegunaan pelajar. Namun, fungsi CINTA ini ternyata lebih tertumpu kepada golongan guru. Mencapai satu tahun selepas idea ini dibentangkan di MYHackathon 2020, CINTA dibangunkan dengan modul baharu yang diintegrasikan di dalam aplikasi Pandai yang turut menawarkan kandungan pembangunan kendiri untuk para guru sekolah.

Lazimnya, bagi memenuhi keperluan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), para guru perlu menghadiri program atau latihan secara fizikal. Walau bagaimanapun, untuk tujuan ini, mereka perlu memohon cuti, berada jauh dari sekolah untuk waktu yang lama dan perlu menanggung kos perjalanan dan penginapan. Dengan modul CINTA, guru-guru kini boleh mengakses bahan pembelajaran mikro secara berterusan memandangkan ia direka khas untuk para guru melalui aplikasi Pandai.

Selepas setahun projek rintis mereka dilaksanakan, pasukan Pandai ini telah mengumpul lebih daripada 1 juta soalan dijawab dalam aplikasi Pandai secara bulanan, dengan setiap pengguna menggunakan aplikasi ini secara purata selama 57 minit sehari. Pada penghujung tahun 2021, Pandai telah berjaya mendapatkan pelaburan peringkat awal pertamanya yang berjumlah RM 8.5 juta daripada beberapa pelabur global seperti 500 Global, Y Combinator, Global Founders Capital, RHL Ventures, Soma Capital, Harvard dan banyak lagi.

Anak2U ingin bekerjasama dengan lebih banyak rakan korporat di masa hadapan, terutamanya dalam bidang pendidikan.

Anak2U Classroom adalah sebuah sistem pengurusan pembelajaran (LMS) yang direka untuk menyelesaikan masalah kelas dalam talian terutamanya sewaktu PdPR. Perjumpaan Anak2U bersama Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) di Kementerian Pendidikan Malaysia telah membincangkan tentang bagaimana sistem ini mampu memenuhi keperluan peperiksaan sekaligus memastikan ia adalah sebuah sistem yang selamat serta melindungi data secara menyeluruh sekiranya ingin dilaksanakan secara penuh.

Sejak memenangi MYHackathon lokasi Pulau Pinang, Anak2U telah mendapat perhatian daripada ramai pihak di peringkat antarabangsa. Pada bulan Julai 2021, Anak2U Classroom telah menyertai Takeoff Summit di Istanbul dan Azerbaijan Culture and Investment Summit pada bulan September dan Oktober 2021. Sebulan kemudian, Albaghdadi, pusat pembelajaran Al-Quran terbesar telah melancarkan versi Anak2U Classroom yang telah diubahsuai untuk kegunaan orang awam di benua Timur Tengah menerusi zammiluuni.com.

Pada masa yang sama, Anak2U masih setia dengan visi asalnya untuk terus bekerjasama dengan KPM dan memahami kehendak semasa yang boleh ditampung oleh Anak2U bagi memastikan ia dapat menjadi sebuah platform untuk melaksanakan Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL) bermula tahun hadapan. Hasil daripada kerjasamanya dengan BPK di KPM, Anak2U turut dihubungkan dengan Jabatan Pendidikan, para guru dan penggubal soalan bagi mengesahkan serta menambah baik solusi mereka terutamanya pada modul soalan dan penciptaan kuiz.

Bahagian 2: Mendigitalisasikan Servis Kesihatan Melalui Buku Rekod Digital Ibu Hamil dan Jejak Kesihatan Dalam Talian Bagi Menghindarkan Risiko Kehilangan Rekod Kesihatan

Ibu bapa boleh mendaftar aplikasi BukuPink di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.

Penjagaan antenatal atau penjagaan kehamilan/meterniti adalah pemeriksaan kesihatan berkala khas untuk wanita yang telah disahkan hamil seawal usia kandungan kurang daripada 12 minggu. Semasa hamil, penting untuk wanita hamil mengenal pasti jangkaan terhadap sebarang risiko atau komplikasi kesihatan yang berkemungkinan dialami oleh ibu dan bayi dalam kandungan.

Bertitik tolak daripada ini, cabaran nasional untuk menaiktaraf tahap penjagaan antenatal pada masa ini adalah untuk mentransformasikan penggunaan buku rekod merah jambu fizikal kepada versi digital. Selari dengan tema “Rakyat Sihat Sejahtera”, solusi BukuPink diangkat sebagai pemenang maraton MYHackathon lokasi Kuala Terengganu. Mereka muncul dengan aplikasi untuk wanita mengandung sekaligus boleh menyimpan serta menjejak rekod kehamilan secara digital.

Hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Klinik Kesihatan Ayer Keroh di Melaka menjadi klinik pertama yang berpeluang untuk menguji projek rintis satu tahun aplikasi BukuPink ini. Bahkan, ia juga merupakan buku rekod kehamilan digital pertama yang diuji di klinik kesihatan milik kerajaan. Dengan menyelesaikan isu penyimpanan data ibu hamil dan pihak klinik, BukuPink berharap agar cita-cita mereka untuk membantu klinik mendigitalkan buku merah jambu ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak klinik di bawah rakan kolaborasi mereka iaitu KKM.

AnakApp mengadakan bengkel dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya melaksanakan projek rintis di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka.

Untuk AnakApp, mereka juga mempunyai misi untuk menyelesaikan masalah dalam bidang kesihatan di Malaysia. Idea yang dibentangkan mereka sewaktu MYHackathon 2020 di bawah tema “Rakyat Sihat Sejahtera” turut terpilih untuk dijadikan projek rintis selama setahun. Solusi digital mereka menyasarkan untuk menyelesaikan masalah yang tidak seharusnya dihadapi oleh ibu bapa iaitu kehilangan rekod kesihatan anak-anak serta kelecehan untuk mendapatkan semula gantian rekod tersebut. Tanpa dokumen tersebut, kanak-kanak akan berisiko tinggi tercicir daripada program imunisasi kebangsaan.

Sebagai pemenang kategori maraton untuk MYHackaton 2020, AnakApp mengakui bahawa cabaran selepas memenangi MYHackathon memerlukan persediaan yang teliti. “Individu yang ingin menyertai hackathon peringkat nasional haruslah mempunyai kesabaran yang tinggi dan komitmen jangka masa panjang untuk membina sesuatu yang hebat untuk rakyat,” demikian menurut jurucakap AnakApp. Mereka telah menghadiri beberapa siri mesyuarat untuk memastikan koordinasi antara startup dan kementerian yang bekerjasama dengan mereka iaitu KKM berupaya menjadikan projek rintis ini sebuah realiti.

Kejayaan projek ini dilancarkan di beberapa buah klinik kerajaan tempatan membuatkan AnakApp berasa sangat teruja. Aplikasi ini membantu ibu bapa menjejak sejarah imunisasi anak-anak mereka serta data antropometri, menstrukturkan informasi dan memantau temu janji vaksinasi yang seterusnya. Tidak kira di mana jua anda berada, rekod kesihatan anak-anak anda berada di hujung jari sahaja selagi telefon pintar ada bersama anda.

Bahagian 3: Solusi Untuk Perniagaan Moden Seperti Sistem Pendaftaran Syarikat Yang Lebih Efisyen, Platform Audit Halal Digital dan Inovasi Pertanian Pintar Berteraskan IoT

Selepas MYHackathon 2020, BossBoleh menjadi finalis dalam Pertandingan Huawei Spark Tech pada bulan Mac 2021.

BossBoleh adalah sebuah startup Malaysia yang berasal dari Kuala Lumpur yang merupakan penyedia perkhidmatan setiausaha syarikat dalam talian yang pertama di negara ini. Mengemukakan idea yang sama semasa MYHackathon 2020, startup ini berjaya muncul sebagai pemenang kategori maraton. Solusi yang mereka bentangkan berupaya untuk memberi kemudahan buat para usahawan dengan menyediakan khidmat menguruskan penubuhan syarikat yang mematuhi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Cabaran tentunya tidak lekang daripada mana-mana startup terutamanya pembinaan platform dalam talian seperti BossBoleh, namun melihat transisi sistem legasi ini kepada dunia digital adalah sesuatu yang besar. “Salah satu cabaran yang kami lalui adalah cuba untuk membuat automasi terhadap kertas kerja manual sebagai Setiausaha Syarikat. Urusan ini perlu mempertimbangkan banyak perkara memandangkan setiap kes adalah unik dan pelbagai. Amalan pematuhan kebanyakannya masih dalam bentuk manual dan telah diamalkan sejak berdekad lamanya. Usaha untuk mendigitalisasikan proses ini memerlukan usaha yang tinggi dan kami baru setengah daripada perjalanan untuk merealisasikan pendigitalan ini,” ujar jurucakap BossBoleh.

Tidak gentar dengan cabaran ini, BossBoleh yakin bahawa terdapat lebih banyak potensi yag boleh diteroka untuk membantu mendigitalkan syarikat. Walaupun mengakui bahawa masih yang perlu dilakukan, namun BossBoleh terus memandang ke hadapan dan percaya dengan hala tuju startup nya yang boleh menjelmakan lebih banyak proses digitalisasi. Buat masa ini, servis BossBoleh telah pun disenaraikan dalam platform MYStartup. Pencapaian ini tentunya mencerminkan kredibiliti mereka sebagai sebuah syarikat startup yang dipercayai untuk mengemudi digitalisasi di Malaysia.

Proses sumbangsaran pasukan CoreHalal tentang bagaimana untuk memahami pemegang taruh industri Halal.

Setelah melalui proses deliberasi dan beberapa sesi forum langsung dengan rakan kolaborasi dan pemegang taruh seperti Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), CoreHalal bakal dilancarkan pada Januari 2022. CoreHalal pada asalnya berpendapat bahawa pembangunan solusi digital pengurusan halal adalah sesuatu yang mencabar kerana mereka tidak memiliki pakar industri dalaman. Namun, mereka akhirnya menyedari bahawa perkara ini adalah sesuatu yang tidak mustahil sejak mereka mula bekerjasama dengan Inisiatif Padu Resources, yang turut serta untuk membantu mereka memahami proses kerja industri halal dengan lebih baik.

Objektif CoreHalal adalah untuk menyelaraskan proses kerja industri halal melalui pemusatan proses permohonan pensijilan halal, membina alat audit mudah gerak yang bakal memberi akses segera kepada tugasan audit, lengkap dengan sokongan muat naik dokumen bukti serta pemeriksa sijil halal (CFC) untuk sijil halal perniagaan kecil dan sederhana (SME). Platform digital ini bakal tersedia secara kaedah langganan.

Solusi kemenangan daripada MYHackathon 2020 lokasi Kota Kinabalu yang dijayakan oleh SynxSoft Sdn Bhd, platform halal digital ini menyasarkan untuk memacu operasi yang efisien dalam industri halal negara. “Dengan geran ini, kami telah berjaya untuk menubuhkan startup kami, SynxSoft Sdn Bhd pada awal tahun 2021. MYHackathon telah banyak memberi kami peluang untuk berkembang sebagai sebuah syarikat. Tanpa MYHackathon, perjalanan ini tentunya masih jauh dan sukar untuk kami.”

HAVVA direka untuk sesiapa sahaja menanam makanan tanpa toksik secara berterusan.

Ramai orang yang telah mencuba untuk menanam sayur-sayuran mereka sendiri atau menjadi usahawan agro, namun kebanyakannya tidak kesampaian akibat tidak mempunyai solusi pertanian penuh dari hujung ke hujung. Untuk tujuan ini, HAVVA menggabungkan 5 teknik pertanian yang paling efektif dan efisien, serta melengkapkannya dengan komponen yang dibangunkan menerusi inovasi, serta siap diuji bagi membolehkan misi usahawan agro ini sesuatu yang nyata. Sesiapa sahaja yang tidak mempunyai pengalaman pertanian kini boleh menanam hasil hijau mereka secara profesional dan konsisten menerusi sistem HAVVA.

Menjadi pemenang MYHackathon 2020 menjadikan impian HAVVA untuk melengkapkan solusi dari hujung ke hujungnya menerusi platform digital bakal direalisasikan. Menerusi platform ini, mereka juga mampu untuk menghubungkan pengguna yang berpotensi serta pengguna sedia ada kepada solusi Pertanian Pintar. Kini, HAVVA sedang menaik taraf produk solusinya dengan memohon pensijilan SIRIM bagi menambah baik penghasilan. Bukan itu sahaja, dua universiti awam iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaya (UM) juga turut bekerjasama dengan HAVVA untuk membantu dari segi aspek kajian dan pembangunan. 

Fungsi yang dibangunkan oleh HAVVA juga membolehkan mereka mendapat kepercayaan untuk mengendalikan projek Pertanian Dalaman (Indoor Farming) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), projek Roof Top Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), dan Projek Manong. Dengan solusi HAVVA, mereka juga yakin bahawa keselamatan makanan negara dapat dipastikan dengan bantuan solusi pertanian yang terbaik dan lengkap, sekaligus mengurangkan jejak karbon bagi mencapai agenda bersama untuk mencapai negara neutral karbon menjelang tahun 2030.

AgriData bekerja secara bergerak-gerak untuk bertemu dengan petani tempatan. Mereka mahu memberi impak kepada lebih banyak komuniti terutamanya di kawasan luar bandar dan seterusnya, ke luar Sabah di masa akan datang.

AgriData merupakan sebuah perniagaan startup yang telah memenangi MYHackathon 2020 dan mempunyai matlamat untuk mentransformasikan cara pengguna dan peniaga berhubung dengan peruncit mereka. Dengan menghubungkan rakyat dan makanan menggunakan teknologi, mereka juga telah mencatat prestasi yang memberangsangkan. 15 tan hasil pertanian telah berjaya digerakkan dan Gross Merchandise Value (GMV) telah berjaya mencapai RM 150,000, kedua-duanya dalam masa 4 bulan. Bahkan, terdapat peningkatan pelanggan dengan 100% pertumbuhan dari bulan ke bulan.

Fokus semasa mereka adalah terhadap komoditi perdana yang mempunyai permintaan yang tinggi, mempunyai jangka hayat yang lama serta memiliki nilai pasaran yang tinggi. AgriData bermula dengan memperkasakan petani dan penternak dengan melibatkan mereka dalam kontrak yang menguntungkan dan stabil bagi membolehkan hasil jualan mereka dapat dibeli pada harga tetap. Golongan ini juga diberi latihan dan pembiayaan agar mereka dapat mengaplikasikan teknologi pertanian moden untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil. Sumber makanan ini kemudiannya akan disimpan dan dihantar untuk diedarkan kepada perniagaan yang telah menjadi rakan kongsi mereka termasuklah peruncit moden, pasar tradisional, perniagaan penyediaan makanan seperti HORECA, pengilang makanan dan juga penjual semula.

Mereka juga berhasrat untuk mengembangkan pasukan serta giat mencari lebih ramai pelabur untuk meningkatkan modal kerja bagi merealisasikan pelan yang telah mereka rancang. Buat masa ini, mereka sudah mempunyai 3 versi aplikasi mudah alih yang telah dilancarkan di platform Google Play Store dan Apple App Store.

Bahagian 4: Persekitaran Yang Lebih Selamat Menerusi Idea Digital Sistem Penyelenggaraan Aset Awam dan Pengesanan Lubang Jalan Menggunakan Kepintaran Buatan

Orang awam boleh menghantar aduan mengenai kerosakan aset awam di platform ini.

Malaysia Infrastructure Reporting & Assessment (MIRA) menyediakan servis pengurusan dan penyelenggaraan asset awam berintegrasi dari hujung ke hujung. Ia membolehkan orang ramai membuat aduan berkenaan harta benda yang rosak atau tidak kondusif untuk digunakan. Bukan itu sahaja, MIRA turut mencakupi fungsi untuk pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan asset, pemantauan aktiviti penyelenggaraan secara terus termasuklah pemeriksaan asset serta penilaian, mengeluarkan laporan serta mengira kos penyelenggaraan melalui kaedah yang berintegrasi. 

Sehingga November 2021, sebanyak 2,310 aset awam telah didaftarkan daripada 10 agensi kerajaan yang berbeza. Seramai 600 orang pemeriksa Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara telah pun berdaftar dengan platform ini. Manakala, hampir 50,000 lembaran penemuan telah dicatatkan untuk pemeriksaan awal asset awam yang berkaitan. 

Tambahan pula, hampir 2,500 laporan telah dijana untuk penyelenggaraan asset awam yang telah diperiksa dengan setiap laporan mempunyai skor spesifik, rating, cadangan penambahbaikan serta anggaran kos penyelenggaraan yang terlibat. Atas permintaan JKR, MIRA akan dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Aplikasi Pemeriksaan Keadaan Aset (iPKAAT) dan akan dimiliki sepenuhnya oleh JKR. Aplikasi Pemeriksaan Keadaan Aset (iPKAAT) and will be officially owned by JKR.

Demonstrasi penggunaan aplikasi RoadPlus terdapat di laman sesawang mereka. on their website.

“RoadPlus telah terbukti mampu untuk menjejak lubang jalan dan memastikan mereka diperbaiki dalam masa 24 jam,” ujar jurucakap NEUON AI, pemenang kategori maraton MYHackathon 2020. Bekerja rapat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta konsesi jalan raya, produk utama mereka iaitu servis data RoadPlus tersedia secara on-demand.

RoadPlus mengintegrasikan teknologi Kepintaran Buatan (AI) dalam penyelenggaraan jalan dan sistem pengurusan (RMMS), sebuah pendekatan yang sistematik untuk perancangan, penyusunan, hala tuju dan kawalan operasi penyelenggaraan. Solusi ini disertakan dengan solusi pemeriksaan jalan raya berautomasi, sebuah platform aduan sehenti yang ringkas dan jimat kos yang boleh diakses menerusi telefon pintar.

“Pandemik COVID-19 tentunya adalah masa yang mencabar untuk kami melancarkan projek rintis kerana ia memerlukan kami untuk merentas beberapa buah daerah bagi tujuan latihan dan pelaksanaan RoadPlus. Walaupun tergendala buat sementara waktu, kami telah mengusahakan beberapa inisiatif termasuklah pelaksanaan di bahagian Kuching dan menjalankan latihan melalui sesi dalam talian serta menyediakan video klip pendek untuk tujuan pembelajaran,” demikian menurut jurucakap NEOUN AI. Startup ini mengambil masa selama 8 bulan untuk menjalankan projek rintis secara rasmi bersama JKR Sarawak. Kolaborasi ini melibatkan pengeluaran sebanyak 10 unit penyelenggaraan jalan (RMU) kepada RoadPlus. Kini mereka mempunyai portfolio dalam mendigitalkan lebih daripada 2,500 kilometer jalan dan telah memperbaiki lebih daripada 70 buah lubang jalan.

Bahagian 5: Kemahiran Untuk Semua Melalui Sokongan Kandungan Untuk Meningkatkan Kerjaya Serta Platform Untuk Menyeragamkan Program Latihan Untuk Komuniti OKU

Paparan platform eLancar

Untuk menjadi sebuah negara yang kekal maju dan progresif, sumber tenaga yang terdiri daripada pelbagai lapisan pekerja dan usia di Malaysia memerlukan latihan serta ilmu baru yang berterusan untuk meningkatkan nilai kerjaya mereka. Menyedari jurang ini, solusi eLancar telah lahir menerusi MYHackathon 2020 untuk menyelesaikan masalah ini. 

Dengan 10,000 jam latihan kemahiran tersedia untuk 30 juta rakyat Malaysia, eLancar merupakan sebuah platform analitik data yang membantu kerajaan untuk menyediakan bimbingan kemahiran dengan lebih efisien menerusi sesi latihan yang sesuai mengikut kesesuaian. Bukan itu sahaja, idea yang lahir daripada program MYHackathon ini juga berupaya untuk memperbaiki proses dalaman yang digunakan untuk menguruskan program peningkatan kemahiran. 

Setakat penghujung tahun pertama projek rintis, platform ini telah mempunyai lebih daripada 100 pembimbing korporat. eLancar juga telah terpilih untuk menyertai delegasi Malaysia ke Expo Dubai 2020. Bertapak daripada program hackathon ini juga, pasukan di sebalik eLancar berasa bertuah kerana dapat dibimbing oleh pasukan coach yang berpengalaman dan berdiri sama tinggi dengan gergasi startup lain di Malaysia. Potensi mereka semestinya berada di landasan yang betul kerana solusi ini sedang berkembang pesat untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan.

Transisi 6 bulan daripada MyOKU kepada MyPDK adalah sebuah pelajaran yang berharga untuk Quad Lab untuk merealisasikan kebolehan mereka dalam membangunkan platform berasaskan SaaS.

Di samping kestabilan kerjaya untuk golongan kebanyakan, komuniti orang kelainan upaya (OKU) juga tidak sesekali dipinggirkan. Untuk memantapkan lagi program latihan, bimbingan dan pemulihan untuk komuniti OKU, pemenang maraton MYHackathon 2020 lokasi Kuala Lumpur, Quad Lab Sdn Bhd membangunkan sebuah platform yang dinamakan sebagai MyPDK.

MyPDK adalah sebuah platform yang dibangunkan untuk menyelaras serta menyeragamkan program latihan dan bimbingan di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk komuniti OKU. Pusat ini dikawal selia oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Matlamat utama idea pelaksanaan MyPDK ini adalah mentransformasikan PDK menjadi sebuah organisasi sifar kertas dan berhijrah sepenuhnya ke platform digital dari hujung ke hujung, termasuklah dari segi pengurusan dan operasi program PDK. Projek rintis MyPDK dijangka akan memberi impak kepada hampir 565 buah pusat PDK dan 14,000 individu OKU yang menghadiri PDK sebaik sahaja platform ini diimplementasikan.

Untuk sampai ke tahap ini semestinya bukan perjalanan yang mudah buat Quad Lab Sdn Bhd. MyPDK mengambil masa selama 6 bulan untuk dimuktamadkan daripada idea kemenangan asal mereka iaitu MyOKU, sebuah platform untuk mendigitalkan urusan komuniti OKU dengan kerajaan. Namun demikian, pengalaman ini adalah sesuatu yang berharga untuk startup ini agar mereka tidak gentar menghadapi dinamik dan cabaran di masa yang akan datang, terutamanya melibatkan kerjasama daripada agensi kerajaan.

Bahagian 6: Mentransformasikan Kehidupan Rakyat Menerusi Inovasi Sosial Dan Menyelesaikan Agenda Keselamatan Makanan Kebangsaan Melalui Peruncitan Berasaskan Komuniti

Pandemik COVID-19 sememangnya menuntut kita, rakyat, untuk sentiasa mengamalkan SOP dan penjarakan sosial yang selamat. Untuk menyesuaikan kehidupan ibu bapa dan anak-anak di kala pandemik, bahkan pasca pandemik, urusan transaksi tentunya lebih mudah dilakukan secara dalam talian. Situasi ini dilihat sebagai sesuatu yang boleh dibangunkan oleh pemenang maraton MYHackathon 2020 lokasi Kuala Lumpur dengan idea yang diberi nama Vircle.

Vircle merupakan sebuah aplikasi berupa e-dompet (e-wallet) yang membantu ibu bapa menyalurkan transaksi wang serta memantau perbelanjaan anak-anak mereka yang masih bersekolah. Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga dapat membiasakan diri dengan transaksi digital wang serta mempelajari cara untuk menguruskan kewangan sebagaimana dompet digital dewasa yang pelbagai di platform maya.

Vircle ini lahir menerusi idea untuk membantu mentransformasikan gaya hidup institusi keluarga di Malaysia terutamanya dalam kalangan keluarga yang mempunyai anak-anak kecil. Ujar jurucakap Vircle, penggunaan aplikasi ini diperluaskan ke sekolah bagi memupuk budaya transaksi digital sejak dari usia muda sekaligus melahirkan rakyat celik kewangan. Sejak memenangi MYHackathon 2020, projek rintis Vircle telah bekerjasama rapat dengan MOSTI dan berjaya dilaksanakan di 21 buah sekolah. Dalam masa terdekat, mereka sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar aplikasi Vircle ini dapat diperluaskan ke sekolah kebangsaan.

FortNynja memenangi MYHackathon 2020 lokasi Kuala Lumpur.

Malaysia telah diperkenalkan dengan konsep Identiti Nasional Digital sejak lebih daripada 20 tahun namun kadar pengetahuan orang awam tentang perkara ini masih rendah. Oleh yang demikian, solusi yang dibawakan oleh FortNynja bertajuk National Digital Identity (NaDI) telah diangkat menjadi pemenang MYHackathon Kuala Lumpur. Solusi ini telah direka khas untuk memacu implementasi platform identiti kerajaan secara menyeluruh di seluruh negara. Pasukan ini telah berjaya melengkapkan serta menguji prototaip akhir NaDI seawal bulan Julai 2021.

FortNynja telah membangunkan serta menguji sebuah aplikasi laman sesawang tunggal yang merangkumi pengesahan identiti gred korporat, serta fungsi modular untuk membolehkan agensi membuat ‘drag-and-drop’ terhadap servis. Tidak meminggirkan aspek keselamatan, sebuah papan pemula untuk menjejak akses kawalan identiti di peringkat individu turut dibangunkan. Fungsi ini boleh dimajukan lagi menggunakan teknologi Blockchain bagi meningkatkan sekuriti dan ketelusan.

FortNynja berkolaborasi dengan agensi yang ditugaskan untuk mereka iaitu Bahagian Kanak-Kanak (BKK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang mana pada masa itu mempunyai minat untuk meminimumkan serta menyelaras proses dokumentasi untuk program Anak Pelihara di bawah kementerian mereka. Buat masa ini, projek NaDI bersama kolaborasi kerajaan ini masih berlangsung.

Pasukan ZHUZH mempunyai misi untuk menghubungkan pasaran secara terus untuk memacu kemapanan komersial seawal mungkin.

ZHUZH bercita-cita untuk mencipta sebuah platform untuk kawasan bandar serta komuniti pertanian yang membolehkan mereka berhubung dengan peruncit berdasarkan komuniti dan pembeli. Solusi mereka memfokuskan kepada pertanian dan keselamatan makanan, serta berhasrat agar Malaysia tidak lagi mempunyai masalah kelaparan serta kekurangan nutrisi dalam kalangan rakyat. 5 buah agensi telah turut serta dalam perbincangan bersama ZHUZH, termasuklah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pembangunan modul MVP pertanian juga telah dimuktamadkan pada penghujung bulan Oktober 2021, kemudian diikuti oleh pelaksanaan 5 tapak rintis kebun bandar yang telah menyertai platform ZHUZH. Tapak kebun rintis ini bertempat di Taman Desa, Keramat, Cheras, Kepong dan Sungai Besi. Sebuah kolaborasi juga telah dibuat dengan Hijrah Warrior Mart, sebuah inisiatif di bawah DBKL yang telah menghasilkan produk bernilai tinggi daripada kebun bandar. Inisiatif ini juga telah menyediakan peluang pekerjaan kepada gelandangan. Kini, Hijrah Warrior Mart menggunakan ZHUZH bagi menambah baik operasinya. 

Fungsi utama platform pemenang maraton MYHackathon 2020 lokasi Kota Kinabalu ini adalah untuk menyelesaikan hubungan antara pasaran, di mana pengeluaran hasil kebun komuniti boleh dipantau seterusnya mengenal pasti jurang bekalan berdasarkan permintaan bekalan makanan dan minuman (F&B) dalam komuniti. Perniagaan F&B juga boleh melihat apa yang sedang ditanam dan dituai. Ini menggalakkan pembelian pada masa depan kerana modul perkongsian informasi ini adalah untuk membantu pembekalan sumber produk yang lebih efektif. Satu lagi fungsi tambahannya adalah peluang untuk mengintegrasikan perancangan pengumpulan sisa makanan, yang bakal menjadi khabar baik untuk kebun yang memiliki kapasiti kompos. Mereka juga mempunyai pelan untuk mengadaptasi kredit karbon dalam reka bentuk produk untuk menyahut komitmen kerajaan yang ingin menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Impak Maksima untuk Menilai dan Memperbaiki

Tahun pertama untuk setiap percubaan, amalan, atau dedikasi adalah fasa yang paling definitif. Pasukan yang memenangi MYHackathon 2020 dalam kategori maraton telah melengkapkan pelaksanaan projek rintis selama satu tahun mereka. Kami sampaikan kepada anda kisah 18 buah startup, yang penuh warna warni serta memberi refleksi. Kita harus mengambil pedoman dan menteladani kisah kejayaan mereka serta ketekunan menghadapi cabaran. Kisah mereka juga mencerminkan realiti usaha bersama kita sebagai Rakyat untuk mendigitalisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan. 

Memandang ke hadapan, marilah kita menjadi lebih realistik terhadap pendekatan untuk melakukan perubahan. Solusi yang berbeza mempunyai hasil akhir yang berbeza semasa pelaksanaan projek rintis kerana ia juga adalah berdasarkan permasalahan yang ingin mereka selesaikan bersama agensi serta pemegang taruh yang berkolaborasi dengan mereka. Tindakan penyelarasan secara berterusan adalah diperlukan, lebih-lebih lagi apabila sesebuah startup mengambil keputusan untuk membuat anjakan terhadap solusi mereka agar dapat disesuaikan dengan realiti yang dinamik dan sentiasa berubah. Dalam erti kata lain, perniagaan dan startup yang menyertai MYHackathon perlu melaraskan kemudi mereka supaya solusi yang dicipta menepati hala tuju yang disasarkan.

Kita mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan dan peluang untuk memangkin prestasi yang lebih baik. Kita juga sentiasa percaya bahawa startup yang bagus mampu memberikan hasil. Namun, startup yang lebih baik akan memiliki pemikiran yang lebih terbuka dan berkembang, serta bermotivasi untuk kekal maju walaupun berada dalam gelombang perubahan. MYHackathon adalah bukti terbaik bahawa rakyat boleh menyumbang kepada negara berteraskan bakat serta kemahiran yang berbeza-beza. Kami berharap untuk menemui lebih ramai pemenang pada masa akan datang yang sanggup menyahut cabaran untuk mendigitalisasikan penyampaian servis kerajaan. 

Time to Digitalise, Streamline, Simplify and even DISRUPT Government Delivery. Jumpa pada edisi yang akan datang.

MYHackathon 2020 commenced in October 2020 and the 18 winners have milestones to deliver within the following year of their win. This initiative is led by Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) as the main secretariat, supported by Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Malaysian Administrative Modernisation & Management Planning Unit (MAMPU), UniMAKER, Telekom Malaysia and local state partners.

BeFunky-collage-2021-12-15T124455.483-750x465

Kisah Graduasi Pemenang MYHackathon: Menongkah Cabaran Bersama Untuk Solusi Yang Lebih Realistik, Baik dan Cekap

Kisah Graduasi Pemenang MYHackathon : Menongkah Cabaran Bersama Untuk Solusi Yang Lebih Realistik, Baik dan Cekap

Cabaran di peringkat nasional adalah unik. Dalam dunia yang ideal, servis perkhidmatan kerajaan mempunyai pendekatan yang jelas dan ringkas. Sebagai contoh, apabila rakyat melaksanakan urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan, mereka menjangkakan borang mereka diproses, dan dokumentasi dilakukan dengan kadar segera. Kita pastinya sangat kagum dan gembira sekiranya menerima servis yang lancar daripada perkhidmatan kerajaan. Tugas penjawat awam yang berada di barisan hadapan untuk menerima kunjungan rakyat juga pastinya lebih mudah sekiranya sistem sedia ada ditambah baik menjadi lebih mesra pengguna. 

Pada tahun 2020, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil langkah berani untuk menganjurkan sebuah hackathon. Namun demikian, akibat pandemik COVID-19 yang masih memuncak, kesemua enam (6) siri hackathon ini dilaksanakan secara 90 peratus dalam talian. Kesemua peserta dipelawa daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran; daripada mereka yang masih bergelar pelajar sehinggalah kepada usahawan dan para inovator.

Pelbagai faktor diambil kira dalam siri hackathon ini, termasuk konteks bagaimana pasukan ini bermula dengan melakukan ‘pitching’ secara business-to-government (B2G). Idea yang diketengahkan oleh pemenang ini merupakan solusi yang telah melalui proses penjurian yang teliti oleh para hakim yang berkredibiliti dan pakar dalam pelbagai bidang profesional startup. Cabaran yang lebih besar sekarang adalah untuk para pemenang mengesahkan solusi tersebut dengan menyempurnakan projek rintis.

Memanfaatkan Realiti Terimbuh (AR) untuk Kandungan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)

Salah satu pernyataan masalah dalam MYHackathon adalah inisiatif untuk meningkatkan interaksi agensi berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk menarik minat orang awam. Tema tersebut diketengahkan dalam siri MYHackathon 2020 lokasi Pulau Pinang.

Membina pasukan dengan prinsip untuk berkembang sebagai sebuah syarikat, NIUTECS VENTURES Sdn Bhd yang merupakan pemenang untuk MYHackathon Pulau Pinang bermula dengan sebuah pasukan dengan kekuatan tenaga 14 orang, serta pelatih industri dalam persekitaran kerja baharu Roblox dan permainan metaverse.

Staf NIUTECS sedang membina permainan metaverse

Melalui solusi mereka, NIUTECS secara tidak langsung kini bertindak sebagai pembangun serta pengurus komuniti digital MOSTI. Untuk tujuan itu, mereka membina permainan metaverse dan membolehkan kerajaan untuk berkembang, membina profil, mengurus serta berinteraksi secara kerap dengan komuniti menerusi gamifikasi digital.

Dengan konsep ini, agensi kerajaan tidak akan lagi ketinggalan terutamanya untuk mempromosikan STI kepada komuniti kerana solusi milik NIUTECS membolehkan mereka untuk melaksanakan pemasaran digital sekaligus mengguna pakai fungsi keseluruhan dalam persekitaran metaverse.

MOSTI World, paparan permainan metaverse NIUTECS untuk pusat STI

Kini, mereka sedang mencari peluang untuk berada di pasaran serantau dan menyasarkan untuk membina komuniti pengunjung seramai 1 juta orang pada akhir tahun ini. Pemenang MYHackathon 2020 Pulau Pinang ini juga membentang untuk bekerjasama dengan Petrosains dan Hong Leong Bank untuk mengembangkan solusi.

Memodenkan Proses Kebajikan Sosial Menerusi Pendigitalan

Sementara itu, MyPDK adalah sebuah platform yang diilhamkan oleh Quad Lab Sdn Bhd menerusi kemenangannya dalam siri MYHackathon Kuala Lumpur yang bertemakan “Prihatin Rakyat”. Solusi ini dibangunkan untuk Jabatan Kebajikan Malaysia bagi mengurus serta menyelaraskan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebagai sebuah strategi dalam pembangunan komuniti tempatan untuk pemulihan, latihan, pendidikan, peluang kesaksamaan dan integrasi sosial golongan kelainan upaya, sasaran MyPDK adalah untuk membolehkan program PDK menerapkan budaya sifar kertas dan dilakukan sepenuhnya secara digital. Ini termasuklah dari aspek pengurusan program dan operasi PDK.

Perjumpaan Quad Lab bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Idea asal yang menang (MYHackathon 2020) dinamakan sebagai MyOKU. Namun demikian, idea tersebut tidak dapat melangkah ke fasa pembangunan kerana terdapat projek yang hampir sama sedang diimplementasikan oleh JKM. Walau bagaimanapun, terdapat satu bahagian lain yang telah dikenalpasti dan memerlukan penambah baikan iaitu program PDK. Justeru, dari situlah lahirnya MyPDK.” Potensi sebenar pasukan ini bakal dilihat menerusi projek rintis mereka yang akan dilaksanakan pada penghujung tahun 2021. Projek rintis ini menyasarkan untuk memberi impak kepada hampir 565 buah PDK serta 14,000 orang individu kelainan upaya yang menghadiri PDK.

Servis Pemantauan Kesihatan Para Ibu Menerusi Rekod Kehamilan Digital

Di setiap negara, wanita adalah figura besar dan menjadi tulang belakang masyarakat kerana lumrah semulajadi mereka yang melahirkan generasi muda yang sihat dan kuat. Justeru, fasa kehamilan adalah suatu fasa yang penting dan perlu diberi perhatian agar proses ini dapat dijalani dengan mudah oleh para ibu.

Menyedari perkara tersebut, aspek ini diberi penekanan menerusi pernyataan masalah dalam tema “Rakyat Sihat Sejahtera” dalam siri MYHackathon 2020 lokasi Kuala Terengganu. Pemenangnya adalah solusi BukuPink, sebuah aplikasi untuk ibu hamil yang dapat menyimpan serta menjejak rekod kehamilan secara digital.

Kerjasama BukuPink bersama pihak klinik

Solusi BukuPink ini membantu klinik untuk mendigitalkan buku merah jambu fizikal yang kini masih digunakan untuk mencatat rekod kesihatan sepanjang kehamilan para ibu di Malaysia. Transisi daripada rekod kesihatan fizikal buku merah jambu kepada versi digital adalah sebuah cabaran nasional yang cuba untuk ditangani melalui solusi BukuPink.

Aplikasi BukuPink telah mula diuji melalui projek rintis yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Melaka sejak 2 November 2021 untuk tempoh masa dua (2) bulan. Lebih menarik, aplikasi ini merupakan buku rekod kehamilan digital serta sistem yang pertama seumpamanya dilaksanakan di klinik milik kerajaan Malaysia.

Pelaksanaan projek rintis Buku Pink di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Melaka

Rekod Kesihatan Elektronik Bayi Menjejak Tahun-Tahun Awal Kehidupan Rakyat Malaysia

Sebuah lagi penyelesaian yang berkait rapat dalam tema “Rakyat Sihat Sejahtera” adalah menerusi solusi AnakApp. AnakApp direka untuk mendigitalkan buku fizikal Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak. Idea digital ini juga bertujuan untuk mengelakkan terjadinya perkara lazim seperti kehilangan rekod kesihatan di tahun-tahun awal menjalani kehidupan.

Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga membantu ibu bapa untuk mengetahui sejarah serta status vaksinasi anak mereka serta data antropometri. Melalui AnakApp, informasi berharga ini boleh distrukturkan semula. Malah, ibu bapa juga berupaya untuk menjejak tarikh dan waktu untuk vaksinasi yang akan datang. Hanya memerlukan telefon pintar, rekod kesihatan bayi ini berada di hujung jari, di mana jua dan pada bila-bila masa.

Jururawat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menguji sistem AnakApp

Memandangkan projek rintis solusi ini telah berjaya dilaksanakan di klinik kesihatan tempatan, mereka boleh memantau tingkah laku pengguna sepanjang tempoh pengujian aplikasi. Melalui data ini, mereka berupaya untuk memperhalusi produk mereka dan bekerjasama rapat dengan pihak kementerian pada skala yang lebih besar, sekaligus meluaskan pelaksanaan projek ini ke klinik kesihatan yang lebih banyak di seluruh Malaysia. Dalam masa yang sama, AnakApp juga akan terus mengintai peluang kolaborasi dengan rakan kongsi yang berpotensi untuk membantu mereka mencapai lebih ramai pengguna sasaran.

Amalan Kerja Yang Bertanggungjawab Dengan Rekod Digital Pengurusan Dan Penyelenggaraan Harta Benda Awam

Malaysia Infrastructure Reporting & Assessment (MIRA) menyediakan servis integrasi dari hujung ke hujung (end-to-end) untuk pengurusan dan penyelenggaraan harta benda awam.

MIRA mengandungi 4 komponen utama yang merangkumi Aduan (Complaint), Penilaian (Assessment), Laporan (Reporting) dan Kepintaran (Intelligence). Keempat-empat komponen ini diberi singkatan sebagai CARI.

Saat kemenangan MIRA sebagai pemenang Maraton MYHackathon lokasi Kuching

Tugas utama MIRA adalah untuk mengintegrasikan pelbagai sistem dalam kerajaan dan agensi untuk menyediakan akses mudah kepada orang ramai untuk menyalurkan aduan terhadap harta benda awam yang rosak dan tidak kondusif. Setakat bulan November 2021, sebanyak 2,310 buah aset awam telah didaftarkan dalam aplikasi; merentasi sepuluh (10) buah jabatan daripada pelbagai kementerian. 600 orang penilai daripada JKR juga telah didaftarkan dalam aplikasi ini.

Dengan ini, ia membolehkan aktiviti penyelenggaraan harta benda awam ini dapat dilakukan dengan segera dan dipantau terus. MIRA juga berupaya untuk membolehkan agensi serta sistem kerajaan yang berkaitan untuk melakukan aktiviti pemeriksaan dan penilaian aset awam, penghasilan laporan penyelenggaraan serta pengiraan kos penyelenggaraan melalui kaedah yang diintegrasikan. Untuk rekod, hampir 50 ribu helaian penemuan telah dicatatkan untuk pemeriksaan awal aset awam yang berkaitan. Susulan itu, hampir 2,500 laporan telah dijana untuk penyelenggaraan aset yang yang diperiksa. 

Semua laporan yang dijana mempunyai skor dan penilaian, dan apl itu termasuk cadangan untuk penambahbaikan dan anggaran kos penyelenggaraan. Aplikasi MIRA kini tersedia dalam dua versi iaitu web dan mudah alih.

Paparan utama papan pemuka aplikasi MIRA

Solusi yang memenangi MYHackathon ini telah diadaptasi oleh agensi kerajaan yang berkolaborasi dengan mereka iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR). Perbincangan bersama JKR juga membawa kepada penjenamaan semula MIRA kepada iPKAAT, singkatan kepada Aplikasi Pemeriksaan Keadaan Aset. Aplikasi ini juga bakal menjadi milik rasmi JKR.

Pengalaman Mengajar Kita Untuk Melakukan Yang Terbaik

Realiti untuk mendigitalkan perkhidmatan kerajaan memerlukan lebih daripada sekadar idea solusi. Ia memerlukan pembelajaran yang berterusan, jangkaan yang mencabar serta kewibawaan untuk berubah demi hasil yang produktif.

MYHackathon 2020 adalah sebuah inisiatif dibawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menyelesaikan cabaran besar dan nyata di peringkat nasional bagi menyediakan khidmat terbaik kepada Rakyat. Ini adalah sebuah program hebat untuk menimba pengalaman dan kami berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada hackathon di mana pemenangnya memiliki kecekalan, pengetahuan tentang perubahan serta keberanian untuk beradaptasi dengan situasi dan cabaran semasa. 

Kami percaya bahawa Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan sejumlah solusi untuk permasalahan ini. Kita juga sedia maklum akan pelbagai kaedah masa kini, dan kita melihat ke hadapan untuk mencipta perancangan. Kita juga percaya kepada Rakyat. Solusi hebat tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia tidak dapat diimplementasikan. Apatah lagi jika ia tidak dapat dimanfaatkan oleh Rakyat. Untuk pemenang kategori Maraton dalam MYHackathon 2020, kami menghargai dan meraikan komitmen, usaha serta pengorbanan mereka dalam perjalanan maraton demi merealisasikannya sehingga ke pengakhiran peringkat projek rintis.

Syabas dan tahniah kepada kohort pertama pemenang kategori Maraton MYHackathon 2020. Semoga dedikasi mereka menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia mencipta lebih banyak inovasi digital pada edisi yang akan datang!

Dengan kepakaran daripada lebih 100 orang hakim senarai pendek, sebanyak 123 pasukan telah terpilih menjadi finalis. Di peringkat akhir, penjurian daripada 60 hakim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional startup telah merealisasikan impian 37 pasukan dalam kategori maraton dan sprint yang akhirnya bergelar sebagai pemenang.

Sejak menjadi pemenang MYHackathon 2020, seramai 19 pemenang kategori Maraton telah membangunkan solusi perintis mereka menggunakan geran keseluruhan berjumlah RM 5.4 juta yang disalurkan di bawah inisiatif PENJANA.

MYHackathon 2020 dilancarkan pada bulan Oktober 2020. Kesemua 36 pemenang diletakkan sasaran untuk merealisasikan idea mereka pada tahun berikutnya, iaitu setahun selepas kemenangan mereka. Inisiatif ini diketuai oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) sebagai sekretariat utama, disokong oleh Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), UniMAKER, Telekom Malaysia dan rakan negeri.