Program MYHackathon 2022 & MYStartup Hackathon 2022 adalah program hackathon peringkat kebangsaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu Mendigitalkan Servis Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan. Program ini merupakan sebuah inisiatif di bawah MYStartup dan dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. ("Cradle").

MYHackathon kini telah memasuki tahun kedua penganjuran. Semasa MYHackathon 2020, seramai 18 buah pasukan pemenang telah menerima sebanyak RM 250,000 geran bersyarat daripada Cradle. Ini bagi membantu mereka membangunkan solusi kemenangan mereka dengan lebih jauh, sekaligus merealisasikannya ke peringkat projek rintis bersama kementerian/agensi yang berkaitan.

Program MYHackathon 2022 dicipta khas untuk membantu menyelesaikan permasalahan. Pernyataan masalah untuk MYHackathon 2022 akan dikumpul daripada pelbagai kementerian dan agensi dalam Kerajaan Malaysia. Manakala, format MYStartup Hackathon direka khas untuk menyelesaikan pernyataan masalah syarikat korporat.

Kesemua pernyataan masalah MYHackathon yang bakal diselesaikan adalah berteraskan rakyat. Kami berusaha untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih mudah dengan menyelesaikan keperluan digitalisasi kerajaan dan syarikat korporat, sekaligus menjadikan interaksi dengan Rakyat lebih senang, jimat masa dan tenaga.

Tema untuk MYHackathon 2022 adalah Hackathon Nasional untuk Malaysia Inklusif.

Program MYHackathon 2022 & MYStartup Hackathon 2022 akan diadakan dalam format hibrid fizikal. Kesemua peserta dari seluruh Malaysia boleh memilih sama ada untuk menghadiri acara di lokasi fizikal (yang akan ditentukan) atau menghadirinya secara dalam talian menerusi pautan strim rasmi program yang akan disediakan di laman portal peserta dan saluran media sosial rasmi.

Program ini terbuka kepada peserta menerusi dua (2) kategori:

  1. Kategori Berpasukan
    1. Terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan kesemua ahli pasukan mestilah berusia 18 tahun dan ke atas. Individu berstatus bukan warganegara Malaysia tidak layak untuk menyertai.
    2. Setiap pasukan mestilah dianggotai oleh sekurang-kurangnya 2 orang ahli, dan maksimum 5 orang ahli.
    3. Setiap pasukan mesti melantik seorang ketua pasukan. (Ketua Pasukan TIDAK BOLEH diganti sepanjang program MYHackathon, baik sebelum mahupun selepas diumumkan sebagai pemenang).
    4. Ketua Pasukan mesti bertanggungjawab menjadi penentu keputusan untuk pasukan.
    5. Sekiranya pasukan anda menang, pasukan anda dikehendaki untuk mendaftar sebagai sebuah syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) yang baharu. Syarat ini adalah bagi memenuhi kesemua keperluan Geran Bersyarat daripada Cradle. Ketua Pasukan mesti menjadi individu utama dalam syarikat dan memegang sekurang-kurangnya 51% saham dalam syarikat Sdn. Bhd.
    6. Sekiranya pasukan anda menang, Ketua Pasukan sebagai pemegang saham majoriti akan menandatangani kesemua dokumen berkaitan Geran Bersyarat dengan Cradle.
  1. Kategori Syarikat
    1. Kesemua syarikat mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) (jenis syarikat sama ada Sdn. Bhd, PLT atau Enterprise).
    2. Majoriti pemilikan saham syarikat (51% dan ke atas) mestilah dimiliki oleh warganegara Malaysia.
    3. Syarikat yang ditubuhkan mestilah berusia kurang daripada 5 tahun (tarikh pendaftaran syarikat mestilah pada atau selepas 31 Mei 2017).
    4. Jumlah jualan syarikat sejak ia ditubuhkan sehingga ke hari ini mestilah kurang daripada RM 5 juta.
    5. Setiap syarikat mesti melantik seorang Ketua Pasukan. (Ketua Pasukan TIDAK BOLEH diganti sepanjang program MYHackathon, baik sebelum mahupun selepas diumumkan sebagai pemenang).
    6. Ketua Pasukan mesti menjadi pemegang saham majoriti dan bertanggungjawab menjadi penentu utama keputusan untuk pasukan.
    7.  Sekiranya pasukan anda menang, Ketua Pasukan sebagai pemegang saham majoriti akan menandatangani kesemua dokumen berkaitan Geran Bersyarat dengan Cradle.

Hanya Ketua Pasukan perlu mendaftar secara dalam talian untuk menyertai program ini. Syarat ini terpakai untuk kedua-dua kategori; Kategori Berpasukan dan Kategori Syarikat. Maklumat ahli pasukan tidak perlu didaftarkan serentak semasa tempoh awal ini.

Selepas Ketua Pasukan melengkapkan pendaftaran secara dalam talian, Ketua Pasukan akan diberi akses untuk memasuki portal MYHackathon. Dalam portal MYHackathon, Ketua Pasukan boleh mengakses kesemua maklumat termasuk pernyataan masalah, senarai mentor, tarikh acara, serta tarikh akhir penghantaran. Kesemua sesi mentoring juga boleh dijadualkan menerusi portal ini.

Pernyataan masalah untuk hackathon ini akan diumumkan serentak dengan tarikh acara kelak. Kesemua maklumat ini akan dimaklumkan di laman web MYHackathon serta di seluruh platform media sosial Cradle. Kesemua ahli pasukan juga akan menerima emel berkenaan pernyataan masalah dan tarikh acara. Maklumat ini akan diumumkan kepada orang ramai.

Pakej hadiah untuk pemenang dan jumlah pasukan yang bakal menang akan diumumkan tidak lama lagi. Sila daftar untuk menyertai program MYHackathon secara dalam talian dan kami akan memberikan informasi serta perkembangan terus ke emel yang telah anda daftarkan.

Kesemua ahli pasukan dialu-alukan untuk menyertai acara hibrid fizikal, pelancaran secara dalam talian dan acara pitch akhir.

Walau bagaimanapun, untuk kesemua masterclass secara dalam talian & sesi mentoring, kehadiran adalah diwajibkan untuk Ketua Pasukan. Sesi ini akan didakan menerusi portal MYHackathon dan hanya dibenarkan untuk satu log masuk sahaja (akses ke portal dalam talian hanya diberikan kepada Ketua Pasukan sahaja bagi mengikut kehendak sistem).

Sebuah seksyen akan disediakan dalam portal dalam talian MYHackathon di mana Ketua Pasukan boleh membuat penghantaran projek (untuk Kategori Berpasukan dan Syarikat). Semasa proses penghantaran ini, kesemua maklumat mesti dihantar bersama, termasuklah nama semua ahli pasukan dan maklumat penting yang lain.

Kami menghargai minat anda terhadap program ini. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghantar emel kepada kami di support@myhackathon.px2imtpqay-ypj68pnn53l2.p.temp-site.link. Pasukan berdedikasi kami sangat berbesar hati untuk membantu menjawab segala persoalan anda berkaitan program ini.

Jumpa anda semua di MYHackathon 2022 & MYStartup Hackathon 2022!

Selamat maju jaya dari kami,
Pasukan Sekretariat MYHackathon 2022 & MYStartup Hackathon 2022
Shopping Basket