Kisah Graduasi Pemenang MYHackathon : Menongkah Cabaran Bersama Untuk Solusi Yang Lebih Realistik, Baik dan Cekap

Cabaran di peringkat nasional adalah unik. Dalam dunia yang ideal, servis perkhidmatan kerajaan mempunyai pendekatan yang jelas dan ringkas. Sebagai contoh, apabila rakyat melaksanakan urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan, mereka menjangkakan borang mereka diproses, dan dokumentasi dilakukan dengan kadar segera. Kita pastinya sangat kagum dan gembira sekiranya menerima servis yang lancar daripada perkhidmatan kerajaan. Tugas penjawat awam yang berada di barisan hadapan untuk menerima kunjungan rakyat juga pastinya lebih mudah sekiranya sistem sedia ada ditambah baik menjadi lebih mesra pengguna. 

Pada tahun 2020, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil langkah berani untuk menganjurkan sebuah hackathon. Namun demikian, akibat pandemik COVID-19 yang masih memuncak, kesemua enam (6) siri hackathon ini dilaksanakan secara 90 peratus dalam talian. Kesemua peserta dipelawa daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran; daripada mereka yang masih bergelar pelajar sehinggalah kepada usahawan dan para inovator.

Pelbagai faktor diambil kira dalam siri hackathon ini, termasuk konteks bagaimana pasukan ini bermula dengan melakukan ‘pitching’ secara business-to-government (B2G). Idea yang diketengahkan oleh pemenang ini merupakan solusi yang telah melalui proses penjurian yang teliti oleh para hakim yang berkredibiliti dan pakar dalam pelbagai bidang profesional startup. Cabaran yang lebih besar sekarang adalah untuk para pemenang mengesahkan solusi tersebut dengan menyempurnakan projek rintis.

Memanfaatkan Realiti Terimbuh (AR) untuk Kandungan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)

Salah satu pernyataan masalah dalam MYHackathon adalah inisiatif untuk meningkatkan interaksi agensi berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk menarik minat orang awam. Tema tersebut diketengahkan dalam siri MYHackathon 2020 lokasi Pulau Pinang.

Membina pasukan dengan prinsip untuk berkembang sebagai sebuah syarikat, NIUTECS VENTURES Sdn Bhd yang merupakan pemenang untuk MYHackathon Pulau Pinang bermula dengan sebuah pasukan dengan kekuatan tenaga 14 orang, serta pelatih industri dalam persekitaran kerja baharu Roblox dan permainan metaverse.

Staf NIUTECS sedang membina permainan metaverse

Melalui solusi mereka, NIUTECS secara tidak langsung kini bertindak sebagai pembangun serta pengurus komuniti digital MOSTI. Untuk tujuan itu, mereka membina permainan metaverse dan membolehkan kerajaan untuk berkembang, membina profil, mengurus serta berinteraksi secara kerap dengan komuniti menerusi gamifikasi digital.

Dengan konsep ini, agensi kerajaan tidak akan lagi ketinggalan terutamanya untuk mempromosikan STI kepada komuniti kerana solusi milik NIUTECS membolehkan mereka untuk melaksanakan pemasaran digital sekaligus mengguna pakai fungsi keseluruhan dalam persekitaran metaverse.

MOSTI World, paparan permainan metaverse NIUTECS untuk pusat STI

Kini, mereka sedang mencari peluang untuk berada di pasaran serantau dan menyasarkan untuk membina komuniti pengunjung seramai 1 juta orang pada akhir tahun ini. Pemenang MYHackathon 2020 Pulau Pinang ini juga membentang untuk bekerjasama dengan Petrosains dan Hong Leong Bank untuk mengembangkan solusi.

Memodenkan Proses Kebajikan Sosial Menerusi Pendigitalan

Sementara itu, MyPDK adalah sebuah platform yang diilhamkan oleh Quad Lab Sdn Bhd menerusi kemenangannya dalam siri MYHackathon Kuala Lumpur yang bertemakan “Prihatin Rakyat”. Solusi ini dibangunkan untuk Jabatan Kebajikan Malaysia bagi mengurus serta menyelaraskan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebagai sebuah strategi dalam pembangunan komuniti tempatan untuk pemulihan, latihan, pendidikan, peluang kesaksamaan dan integrasi sosial golongan kelainan upaya, sasaran MyPDK adalah untuk membolehkan program PDK menerapkan budaya sifar kertas dan dilakukan sepenuhnya secara digital. Ini termasuklah dari aspek pengurusan program dan operasi PDK.

Perjumpaan Quad Lab bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Idea asal yang menang (MYHackathon 2020) dinamakan sebagai MyOKU. Namun demikian, idea tersebut tidak dapat melangkah ke fasa pembangunan kerana terdapat projek yang hampir sama sedang diimplementasikan oleh JKM. Walau bagaimanapun, terdapat satu bahagian lain yang telah dikenalpasti dan memerlukan penambah baikan iaitu program PDK. Justeru, dari situlah lahirnya MyPDK.” Potensi sebenar pasukan ini bakal dilihat menerusi projek rintis mereka yang akan dilaksanakan pada penghujung tahun 2021. Projek rintis ini menyasarkan untuk memberi impak kepada hampir 565 buah PDK serta 14,000 orang individu kelainan upaya yang menghadiri PDK.

Servis Pemantauan Kesihatan Para Ibu Menerusi Rekod Kehamilan Digital

Di setiap negara, wanita adalah figura besar dan menjadi tulang belakang masyarakat kerana lumrah semulajadi mereka yang melahirkan generasi muda yang sihat dan kuat. Justeru, fasa kehamilan adalah suatu fasa yang penting dan perlu diberi perhatian agar proses ini dapat dijalani dengan mudah oleh para ibu.

Menyedari perkara tersebut, aspek ini diberi penekanan menerusi pernyataan masalah dalam tema “Rakyat Sihat Sejahtera” dalam siri MYHackathon 2020 lokasi Kuala Terengganu. Pemenangnya adalah solusi BukuPink, sebuah aplikasi untuk ibu hamil yang dapat menyimpan serta menjejak rekod kehamilan secara digital.

Kerjasama BukuPink bersama pihak klinik

Solusi BukuPink ini membantu klinik untuk mendigitalkan buku merah jambu fizikal yang kini masih digunakan untuk mencatat rekod kesihatan sepanjang kehamilan para ibu di Malaysia. Transisi daripada rekod kesihatan fizikal buku merah jambu kepada versi digital adalah sebuah cabaran nasional yang cuba untuk ditangani melalui solusi BukuPink.

Aplikasi BukuPink telah mula diuji melalui projek rintis yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Melaka sejak 2 November 2021 untuk tempoh masa dua (2) bulan. Lebih menarik, aplikasi ini merupakan buku rekod kehamilan digital serta sistem yang pertama seumpamanya dilaksanakan di klinik milik kerajaan Malaysia.

Pelaksanaan projek rintis Buku Pink di Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Melaka

Rekod Kesihatan Elektronik Bayi Menjejak Tahun-Tahun Awal Kehidupan Rakyat Malaysia

Sebuah lagi penyelesaian yang berkait rapat dalam tema “Rakyat Sihat Sejahtera” adalah menerusi solusi AnakApp. AnakApp direka untuk mendigitalkan buku fizikal Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak. Idea digital ini juga bertujuan untuk mengelakkan terjadinya perkara lazim seperti kehilangan rekod kesihatan di tahun-tahun awal menjalani kehidupan.

Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga membantu ibu bapa untuk mengetahui sejarah serta status vaksinasi anak mereka serta data antropometri. Melalui AnakApp, informasi berharga ini boleh distrukturkan semula. Malah, ibu bapa juga berupaya untuk menjejak tarikh dan waktu untuk vaksinasi yang akan datang. Hanya memerlukan telefon pintar, rekod kesihatan bayi ini berada di hujung jari, di mana jua dan pada bila-bila masa.

Jururawat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menguji sistem AnakApp

Memandangkan projek rintis solusi ini telah berjaya dilaksanakan di klinik kesihatan tempatan, mereka boleh memantau tingkah laku pengguna sepanjang tempoh pengujian aplikasi. Melalui data ini, mereka berupaya untuk memperhalusi produk mereka dan bekerjasama rapat dengan pihak kementerian pada skala yang lebih besar, sekaligus meluaskan pelaksanaan projek ini ke klinik kesihatan yang lebih banyak di seluruh Malaysia. Dalam masa yang sama, AnakApp juga akan terus mengintai peluang kolaborasi dengan rakan kongsi yang berpotensi untuk membantu mereka mencapai lebih ramai pengguna sasaran.

Amalan Kerja Yang Bertanggungjawab Dengan Rekod Digital Pengurusan Dan Penyelenggaraan Harta Benda Awam

Malaysia Infrastructure Reporting & Assessment (MIRA) menyediakan servis integrasi dari hujung ke hujung (end-to-end) untuk pengurusan dan penyelenggaraan harta benda awam.

MIRA mengandungi 4 komponen utama yang merangkumi Aduan (Complaint), Penilaian (Assessment), Laporan (Reporting) dan Kepintaran (Intelligence). Keempat-empat komponen ini diberi singkatan sebagai CARI.

Saat kemenangan MIRA sebagai pemenang Maraton MYHackathon lokasi Kuching

Tugas utama MIRA adalah untuk mengintegrasikan pelbagai sistem dalam kerajaan dan agensi untuk menyediakan akses mudah kepada orang ramai untuk menyalurkan aduan terhadap harta benda awam yang rosak dan tidak kondusif. Setakat bulan November 2021, sebanyak 2,310 buah aset awam telah didaftarkan dalam aplikasi; merentasi sepuluh (10) buah jabatan daripada pelbagai kementerian. 600 orang penilai daripada JKR juga telah didaftarkan dalam aplikasi ini.

Dengan ini, ia membolehkan aktiviti penyelenggaraan harta benda awam ini dapat dilakukan dengan segera dan dipantau terus. MIRA juga berupaya untuk membolehkan agensi serta sistem kerajaan yang berkaitan untuk melakukan aktiviti pemeriksaan dan penilaian aset awam, penghasilan laporan penyelenggaraan serta pengiraan kos penyelenggaraan melalui kaedah yang diintegrasikan. Untuk rekod, hampir 50 ribu helaian penemuan telah dicatatkan untuk pemeriksaan awal aset awam yang berkaitan. Susulan itu, hampir 2,500 laporan telah dijana untuk penyelenggaraan aset yang yang diperiksa. 

Semua laporan yang dijana mempunyai skor dan penilaian, dan apl itu termasuk cadangan untuk penambahbaikan dan anggaran kos penyelenggaraan. Aplikasi MIRA kini tersedia dalam dua versi iaitu web dan mudah alih.

Paparan utama papan pemuka aplikasi MIRA

Solusi yang memenangi MYHackathon ini telah diadaptasi oleh agensi kerajaan yang berkolaborasi dengan mereka iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR). Perbincangan bersama JKR juga membawa kepada penjenamaan semula MIRA kepada iPKAAT, singkatan kepada Aplikasi Pemeriksaan Keadaan Aset. Aplikasi ini juga bakal menjadi milik rasmi JKR.

Pengalaman Mengajar Kita Untuk Melakukan Yang Terbaik

Realiti untuk mendigitalkan perkhidmatan kerajaan memerlukan lebih daripada sekadar idea solusi. Ia memerlukan pembelajaran yang berterusan, jangkaan yang mencabar serta kewibawaan untuk berubah demi hasil yang produktif.

MYHackathon 2020 adalah sebuah inisiatif dibawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menyelesaikan cabaran besar dan nyata di peringkat nasional bagi menyediakan khidmat terbaik kepada Rakyat. Ini adalah sebuah program hebat untuk menimba pengalaman dan kami berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada hackathon di mana pemenangnya memiliki kecekalan, pengetahuan tentang perubahan serta keberanian untuk beradaptasi dengan situasi dan cabaran semasa. 

Kami percaya bahawa Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan sejumlah solusi untuk permasalahan ini. Kita juga sedia maklum akan pelbagai kaedah masa kini, dan kita melihat ke hadapan untuk mencipta perancangan. Kita juga percaya kepada Rakyat. Solusi hebat tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia tidak dapat diimplementasikan. Apatah lagi jika ia tidak dapat dimanfaatkan oleh Rakyat. Untuk pemenang kategori Maraton dalam MYHackathon 2020, kami menghargai dan meraikan komitmen, usaha serta pengorbanan mereka dalam perjalanan maraton demi merealisasikannya sehingga ke pengakhiran peringkat projek rintis.

Syabas dan tahniah kepada kohort pertama pemenang kategori Maraton MYHackathon 2020. Semoga dedikasi mereka menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia mencipta lebih banyak inovasi digital pada edisi yang akan datang!

Dengan kepakaran daripada lebih 100 orang hakim senarai pendek, sebanyak 123 pasukan telah terpilih menjadi finalis. Di peringkat akhir, penjurian daripada 60 hakim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional startup telah merealisasikan impian 37 pasukan dalam kategori maraton dan sprint yang akhirnya bergelar sebagai pemenang.

Sejak menjadi pemenang MYHackathon 2020, seramai 19 pemenang kategori Maraton telah membangunkan solusi perintis mereka menggunakan geran keseluruhan berjumlah RM 5.4 juta yang disalurkan di bawah inisiatif PENJANA.

MYHackathon 2020 dilancarkan pada bulan Oktober 2020. Kesemua 36 pemenang diletakkan sasaran untuk merealisasikan idea mereka pada tahun berikutnya, iaitu setahun selepas kemenangan mereka. Inisiatif ini diketuai oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) sebagai sekretariat utama, disokong oleh Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), UniMAKER, Telekom Malaysia dan rakan negeri.
Shopping Basket